Thursday, June 16, 2011

Memelihara Dan Memulihara Buku

Buku-buku dalam simpanan haruslah dijaga agar dapat bertahan lebih lama. Bagi aku, inilah satu-satunya harta yang bakal diwarisi oleh anak cucu aku nanti. Baiklah, tanpa berceloteh panjang, aku nak berkongsi beberapa petua memelihara dan memulihara buku seperti yang ditulis oleh Isa Jantinegara dan Luna Mantyasih menerusi buku Buku Reka Bentuk Perpustakaan Mini Di Rumah.

1) Jangan simpan buku di dalam kotak tebal. Kotak tebal mengandungi asid dan asid tersebut boleh berpindah ke buku dan mengakibatkan buku tersebut boleh berubah warna kepada kekuning-kuningan.

2) Sekiranya menggunakan rak kayu, pastikan rak kayu tersebut cukup kukuh agar dapat menampung berat buku untuk jangka masa yang lama. Selain itu, pastikan rak tersebut dialas dengan kain atau kertas kerana kayu juga boleh mengeluarkan asid yang boleh merosakkan buku.

3) Pastikan bahagian paling bawah rak berjarak beberapa sentimeter dari atas lantai bagi menghindari dari percikan air.

4) Jangan meletakkan rak buku terus rapat ke bahagian dinding yang bersebelahan dengan bahagian luar rumah. Beri jarak beberapa sentimeter antara rak buku dengan dinding agar tidak terganggu dengan suhu dan kelembapan luar rumah yang tidak menentu.

5) Pastikan ruang tempat menyimpan buku tidak terlalu lembap dan tidak terlalu panas kerana ia boleh menimbulkan asid yang akan membuatkan kertas menjadi berbau busuk.

6) Letakkan buku di atas rak dalam keadaan berdiri kerana ia sememangnya dirancang untuk diletakkan dengan kedudukan yang sedemikian rupa. Jangan meletakkan buku dengan keadaan tulang belakangnya menghadap ke atas kerana tekanan graviti bumi akan menyebabkan bahagian jilid buku tersebut menjadi kendur dan seterusnya boleh menyebabkan kertas-kertas buku tercabut dari jilidnya.

7) Elakkan menindih buku di atas buku-buku yang lain kerana bebanan buku yang di atas akan menekan buku yang dibawahnya sehingga boleh mengakibatkan jilid buku terbuka.

8) Sebaiknya buku disusun mengikut saiz dan ketinggian. Jika buku yang pendek diapit oleh buku-buku yang lebih tinggi darinya, buku yang lebih pendek itu akan cepat rosak. Tambahan pula, sekiranya deretan buku tersebut cukup padat, bahagian tulang buku yang lebih tinggi akan bengkang-bengkok.

9) Gunakan pengapit buku apabila deretan buku yang disusun terlalu longgar atau barisan buku di rak belum penuh.


Hmmmm... idea yang bernas, bukan? Selama ini aku tidak pernah ambil peduli cara memelihara dan memulihara buku. Yang aku tahu.... aku nak tambah lagi koleksi buku!

No comments: