Thursday, June 30, 2011

Diari Mat Despatch - Hati Emak

Buku ini merupakan siri ke-3 Diari Mat Despatch. Sebenarnya buku siri ke-2 pun masih belum aku miliki. Jenuh juga mencari koleksi buku ini di Pesta Buku Antarabangsa 2011 baru-baru ini. Namun hampa belaka. Akhirnya kekecewaanku terubat juga apabila Yanti membelikanku buku ini ketika kunjungannya yang terakhir ke pesta buku tersebut. Terima kasih, sahabat!

Mulanya aku menyangkakan yang aku akan menangis apabila membaca buku ini. Helaian demi helaian aku baca namun masih juga belum bertemu dengan titik sedih. Novel ini masih mengekalkan gaya kelakar dan sering mencuit hati dengan ayat-ayat Bahasa Melayu Tingginya!

Mengisahkan Rayyan yang sedang dalam dilema untuk memilih mengambil ujian editor sambilan atau menghadiri kenduri pertunangan sepupunya. Apakah alasan yang paling sesuai dan terbaik bagi tidak menghampakan dan melukai hati ibunya sekiranya dia memilih untuk mengambil ujian editor sambilan? Terdapat pelbagai solusi dan pendapat daripada orang yang disekitarnya.

Buku ini ditulis oleh Bahruddin Bekri dan diterbitkan oleh PTS pada tahun 2011. Berharga RM9.90 dan mempunyai 184 helaian muka surat. Merupakan sambungan dari buku Diari Mat Despatch yang telah banyak menyedarkan aku agar menggunakan Bahasa Melayu Tinggi dalam penulisan di blog ini. Sememangnya tidak mudah untuk aku menulis dengan menggunakan Bahasa Melayu Tinggi setelah berbelas tahun meninggalkan alam persekolahan. Masih lagi gigih!

No comments: