
Buku ini nipis sahaja. Sangat santai dan mudah dibaca. Ditulis oleh Mazneera Zainal dan diterbitkan oleh Galeri Ilmu pada tahun 2010. Buku ini banyak mengingatkan aku tentang sesuatu. Pengalaman menjadi suri sepenuh masa pada tahun 2007 banyak mengajar aku menghargai masa, kerja, wang dan juga orang-orang yang berada di sekeliling. Tanpa pendapatan tetap, aku menggunakan masa sebaik-baiknya untuk melakukan kerja rumah, mengasuh anak, belajar (master by research secara separuh masa) dan juga bekerja dari rumah. Penat! Bekerja dari rumah tidak semudah yang disangka. Aku sentiasa terkejar-kejar dengan masa!
Penulis membahagikan buku ini kepada 3 bahagian utama iaitu:
1) Senario Dan Realiti Masa Kini
2) Pelbagai Tip Untuk Wanita Bekerja Dari Rumah
3) Tip Membina Kerjaya Dari Rumah
Menjadi seorang suri yang berijazah memang banyak cabarannya. Banyak kata-kata negatif daripada kata-kata positif. "Rugi jer belajar tinggi-tinggi!" bla...bla...bla... Sangat hairan! Belajar tinggi-tinggi hanya untuk dapat kerja saja? Buku ini boleh menjadi rujukan dan sumber motivasi kepada mereka yang menghadapi dilema seperti ini. Rezeki boleh dicari meskipun kita hanya duduk di rumah sahaja! Dengan kecanggihan alat telekomunikasi pada hari ini, kebanyakan urusan dapat diselesaikan hanya dengan menggunakan hujung jari tanpa perlu berjumpa dengan pelanggan.
Terdapat pelbagai tip yang dapat membantu suri untuk bekerja dari rumah. Bagaimana bekerja di samping anak-anak kecil, bagaimana untuk menghadapi rasa sunyi dan juga rasa terasing kerana tidak berjumpa dengan masyarakat luar serta bagaimana untuk menangani tekanan. Selain itu terdapat tip untuk meningkatkan keyakinan diri, mengatasi rasa bosan dengan persekitaran serta mengatasi tekanan kewangan.
Idea untuk memulakan kerja dari rumah juga dikongsi bersama. Tidak rugi membaca buku ini. Pengalaman penulis sangat berguna untuk diikongsi bersama.
No comments:
Post a Comment